Artikel asal Arwah Dato Paduka Basri Akil

Posted by Unknown on Oct 30, 2011

25 April 1939 —15 July 2008

APAKAH ERTI SEBENAR KEJAYAAN PASUKAN NEGARA KITA?

Adakah kejayaan menjuarai bolasepak Piala Merdeka 2007 anjuran kita digelanggang sendiri dengan mengalahkan Myanmar dipertandingan akhir memberi petunjuk bahawa bola sepak kita sudah melangkah maju dan menempuh era baru dipersada antarabangsa?

Mungkinkah kedudukan seri dalam pertandingan persahabatan menentang pasukan Indonesia bawah 23 tahun mampu melambungkan keyakinan bahawa kita dilandasan tepat untuk mengharungi pertandingan bolasepak sukan SEA 2007 di Korat, Thailand?

Hasil kejayaan menjuarai Piala Merdeka 2007, jurulatihnya B. Sathianathan terus dilantik sebagai jurulatih skuad negara oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah. Moga-moga beliau berjaya mengulangi kejayaan disukan SEA 18 tahun lalu dan meletakkan Malaysia sebagai pasukan terbaik di Asia Tenggara.

Kemenangan dalam sesuatu pertandingan sebenarnya tidak memberi kesimpulan bahawa kita telah meningkat disegi tahap prestasi bolasepak kita. Kejayaan dalam Piala Merdeka sebenarnya hanya ibarat kemenangan dalam sesuatu pesta bolasepak! Manakala menjuarai bolasepak sukan SEA hanya meletakkan kita pada tahap terbaik di Tenggara Asia, 14 terbaik di Asia dan, berasaskan penilaian semasa, pada tahap 114 dalam bolasepak antarabangsa!


KITA MEMERLUKAN PENCAPAIAN LEBIH DARI ITU!

Kita perlu melihat secara mendalam asas-asas prestasi dan kejayaan dalam sesuatu persaingan itu. Nasib dan kecederaan pemain bukanlah alasan terbaik dan wajar! Komitmen dan semangat juang juga tidak wajar menjadi penghalang!

Kita amat perlu mampu membuat penilaian dan menghasilkan barisan pemain yang menepati tuntutan bolasepak antarabangsa. Berikut ialah pemerhatian dan rumusan saya tentang apa yang perlu dihasilkan untuk berada dipersada bolasepak antarabangsa dengan kemampuan dan cabaran yang seimbang.

NILAI KEMANTAPAN PASUKAN DIPERSADA ANTARABANGSA:

Ada tiga faktor utama yang saya rasa perlu dijadikan asas kekuatan pasukan iaitu:

1. KEKUATAN FIZIKAL untuk mampu bersaing setanding dalam perebutan bola dengan berkesan dan berjaya.

2. KEPANTASAN dalam pergerakkan dan tindakan mengatasi ketahanan lawan.

3. SIKAP PROFESIONAL DAN KOMITMEN sepanjang masa.

Dari aspek KEKUATAN FIZIKAL, kita sewajarnya telah mengenalpasti keperluan bolasepak dunia yang kini menuntut kepada kekuatan dan penguasaan dalam prestasi yang lebih agresif, cergas dan melasak untuk digandingkan dengan kepintaran asas yang bijak dan licik untuk mengatasi cabaran yang lebih agresif dan fizikal dan yang terpaksa dihadapi diarena dunia. Sebagai kelompok manusia jenis 'Homosepian' yang lebih kecil dan kurang kuat jika disbanding dengan kebanyakkan pemain terbaik dunia yang tampil dari kelompok 'Caucasian' dan 'Negroid', kita perlulah berusaha lebih gigih dan meluas dalam pembangunan untuk mengimbangi pasukan yang lebih kuat dan cergas itu sekurang-kurangnya pada tahap yang mampu dilakukan oleh Jepun, China dan Korea.

KEPANTASAN dalam pergerakan dan tindakan adalah berteraskan kebijaksanaan merancang dan bertindak secara berganding dengan anggota pasukan yang lain. Pergerakan dalam sukan bolasepak semasa kini begitu pantas dan cepat melihatkan umpanan yang dilakukan dengan penuh kefahaman gerakan sepasukan (team understanding) tanpa perlu mencari dimana kedudukan rakan sepasukan.

Manakala PROFESIONALISMA yang dimaksudkan bukan sekadar soal geraklaku dan budi perangai tetapi meliputi faktor utama dalam usaha meningkat tahap keupayaan sendiri. Tidak cukup bagi sesaorang pemain hadir pada sessi latihan pada waktu yang tepat dan menjalankan latihan dengan serius dan bersungguh-sungguh untuk dianggap sebagai mempunyai sikap professional yang baik tetapi hendaklah meliputi pendekatan lebih meluas meliputi usaha mengenali kelemahan diri dan berusaha rapi atas dayausaha dan inisiatif sendiri untuk mengatasinya.

Untuk mencapai dan menrealisasikan matalamat ini kita tidak dapat lari dari keperluan melaksanakan usaha pembangunan yang relevan secara berterusan, berkesinam-bungan dan meliputi bakat-bakat yang dikenalpasti mampu menemui tuntutan bolasepak moden ini. Ia hendaklah merupai satu program yang disusun rapi dan tepat serta dilaksanakan secara bijak dan berwawasan tanpa ubah pinda dan uji cuba sepanjang masa!

Moga-moga pandangan yang bernas boleh tampil dipengetahuan dan otak fikiran mereka dalam FAM!

Salam hormat.

BASRI AKIL. Alor Star, 28 November, 2007.

{ 0 Comment(s) }

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...